SIBU: Polis mengenal pasti jalan di ladang kelapa sawit, Pasai Siong sebagai lokasi baharu sekatan jalan raya di daerah Sibu.

Ketua Polis Daerah ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, Pasukan Gerakan Am (PGA) akan membantu dalam sekatan kali ini.

“Ladang kelapa sawit tersebut akan menjadi lokasi ketujuh sekatan jalan raya yang terdapat di daerah ini,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat di Pejabat Residen Bahagian Sibu Rabu.

Sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bahagian Sibu yang bermula 16 Januari lalu, sebanyak enam lokasi sekatan jalan raya dijalankan di daerah ini.

ACP Stanley turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKP.

Katanya, pematuhan itu sangat penting dalam usaha memutuskan penularan rantaian pandemik Covid-19.

“Orang ramai tidak seharusnya meletakkan tanggungjawab itu kepada pihak berkuasa sahaja, sebaiknya mereka harus memberikan sokongan dalam usaha memerangi pandemik berbahaya itu,” tegasnya.