MIRI: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri mengenakan Perintah Sekatan Pergerakan ke satu lagi lokaliti selepas dikesan dua kes positif Covid-19 jangkitan tempatan.

Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin berkata sebuah ladang kelapa sawit di Daerah Beluru dikenakan Perintah Sekatan Pergerakan bermula 25 Januari hingga 8 Februari depan.

“Terdapat dua kes positif dikesan di ladang berkenaan dan JPBB Miri bersetuju dan mendapatkan kelulusan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) melaksanakan perintah sekatan pergerakan,” katanya pada Rabu.

Dalam perkembangan berkaitan, Kim Shin berkata Stadium Tertutup Miri merupakan Pusat Sehenti Covid-19 bagi tujuan pengeluaran perintah kuarantin, pemasangan gelang tangan, ujian calitan, perintah pelepasan kuarantin serta pembuangan gelang tangan selepas tamat tempoh kuarantin.

Pusat Sehenti itu katanya dikhususkan untuk dua kategori iaitu individu yang melalui temu janji dengan Pejabat Kesihatan Bahagian Miri iaitu individu yang merupakan kenalan rapat kepada kes positif dan individu yang memerlukan calitan pengawasan.

Manakala kategori kedua pula melibatkan individu yang pernah dalam lokaliti yang dinyatakan terdedah kes positif seperti kenyataan JPBNS dan individu yang ingin membuat ujian calitan.

“JPBB Miri menegaskan bahawa Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 hanya membenarkan pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang diberi kuasa untuk mengeluarkan perintah kuarantin atau menarik balik perintah kuarantin,” katanya.

Adun Senadin itu berkata, pemakaian dan pembuangan gelang tangan dilakukan pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Pusat Sehenti itu mempunyai kemudahan letak kereta yang baik, tempat duduk orang awam yang mencukupi serta mempunyai pengudaraan yang baik.

“Prosedur Operasi Standard Covid-19 seperti penjarakan fizikal dititikberatkan dan di bawah pengawasan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang bertugas. Proses sanitasi pula dilakukan oleh bomba pada setiap hari.

“Orang ramai dinasihati memanfaatkan kemudahan calitan di Pusat Sehenti supaya kawalan dan pencegahan pandemik Covid-19 dapat dicapai,” jelasnya.