KUALA LUMPUR: Jelaskan kepada rakyat mengenai tindakan yang akan diambil kerajaan untuk menangani kejatuhan teruk pengaliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) ke negara ini.

Demikian  gesaan Ketua Pemuda Umno Datuk Dr  Asyraf Wajdi Dusuki terhadap Menteri Kanan (Ekonomi)  Datuk Seri Mohamed Azmin Ali  di sebalik fenomena tersebut.

Katanya, kejatuhan itu amat menyedihkan,  apabila sebelum ini negara  sentiasa berada pada kedudukan teratas dan dikenali sebagai destinasi mesra dan tumpuan utama pelabur asing.

“Nampaknya, kepercayaan dan keyakinan pelabur masih belum pulih terhadap Malaysia setelah berlakunya perubahan kerajaan pada 2018” katanya melalui catatan di Facebooknya.

“Antara punca utama adalah ketiadaan polisi ekonomi jelas yang membentuk persepsi bahawa kerajaan boleh menukar dasar sedia ada yang mungkin tidak memihak pelabur untuk segmen tertentu,” katanya.

Menurut Asyraf  antara  yang menjadi faktor  kemasukan pelaburan asing ialah prinsip pengurusan risiko pelaburan dan perdagangan antarabangsa yang dipanggil risiko untuk berdagang dengan sesebuah negara.

Katanya, indikator penting “sovereign risk” ialah apabila kontrak-kontrak yang termeterai boleh berubah dengan perubahan kerajaan.

“Banyak peristiwa yang menyumbang kepada peningkatan ‘sovereign risk’ atau persepsi risiko untuk berdagang dengan Malaysia setelah jatuhnya kerajaan Barisan Nasional pada 2018,” katanya lagi.

Isnin lalu, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) melaporkan Malaysia melihat kejatuhan ketara FDI bagi tahun 2020 sebanyak 68% ke USD2.5 bilion berbanding lima negara Asean yang lain.

FDI Singapura jatuh 37% kepada USD58 bilion, Indonesia 24% ke USD18 bilion, Vietnam 10% ke USD14 bilion dan Filipina 29 peratus sebanyak USD6.4 bilion.