MATU: Agihan bantuan makanan kepada lebih 16,000 Ketua Isi Rumah (KIR) di Daerah Matu yang terjejas akibat bencana banjir baru-baru ini telah selesai sepenuhnya.

Menurut Pegawai Kebajikan Daerah Matu, Zulqarnain Mohamad agihan terakhir dilaksanakan pada Selasa membabitkan penduduk di Kampung Kuala Matu Hilir berjumlah 1,663 orang.

Ditemui semasa proses agihan pada Selasa, Zulqarnain merakamkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri melalui Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Mukah atas keprihatinan menyalurkan bantuan makanan kepada penduduk terjejas.

Beliau turut berterima kasih kepada Pusat Khidmat PBB N.44 Jemoreng, Jawatankuasa Bencana Daerah Matu, Pejabat Daerah Matu, RELA Matu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta agensi-agensi yang turut serta membantu proses agihan sehingga selesai.

Dalam pada itu, Jawatankuasa Bencana Daerah Matu mengingatkan penduduk agar berwaspada dengan pandemik COVID-19 yang semakin menular.

Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di situ turut dinasihatkan agar lebih tegas membendung kemasukan orang luar mahupun penduduk yang pulang ke kawasan itu terutama dari zon merah.