TELLIAN: Sebanyak tiga Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) di Tellian telah siap sepenuhnya dan diserahkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk manfaat masyarakat di kawasan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Yussibnosh Balo semasa menyerahkan projek itu pada Isnin memberitahu projek RTP berkenaan adalah Projek Dewan Terbuka Struktur Berbumbung Padang Futsal Skim Penempatan Kuala Lama, Projek Menaiktaraf Rumah Wakaf, Kampung Tellian Ulu dan Projek Jalan Masuk ke Dewan Serbaguna Kampung Tellian Tengah.

Ujarnya, Projek Dewan Terbuka Struktur Berbumbung Padang Futsal Skim Penempatan Kuala Lama yang menelan kos sebanyak RM250,000 telah siap pada tahun lepas dan ia akan digunakan sebagai dewan dan venue untuk menganjurkan pelbagai aktiviti sukan di kawasan itu.

Tambah Yussibnosh, Projek Menaiktaraf Rumah Wakaf, Kampung Tellian Ulu juga telah siap sepenuhnya pada tahun 2020 dengan menelan kos sebanyak RM200,000.

Manakala projek jalan masuk ke Dewan Serbaguna Kampung Tellian Tengah yang menghubungkan jalan utama Tellian ke dewan yang sedang dibina juga telah siap sepenuhnya pada tahun 2020 dengan kos sebanyak RM100,000.