LONDON: Rangkaian pusat beli-belah UK, Debenhams akan menutup semua cawangannya, kata pentadbir bagi kumpulan itu pada Selasa, dengan sekitar 12,000 orang akan hilang pekerjaan.

Debenhams, yang sudah lama berdepan dengan persaingan sengit perniagaan dalam talian, berusaha untuk memastikan jenamanya terus hidup selepas kumpulan fesyen dalam talian Britain Boohoo membeli aset harta intelek kumpulan itu.

Debenhams runtuh bulan lalu, setelah sukar untuk menyesuaikan diri dengan suasana perniagaan yang kini semakin terjejas apabila pandemik memaksa pembeli beralih kepada pembelian secara dalam talian.

Untuk menghabiskan stok, kedainya akan dibuka semula selepas penguncian UK ditarik balik bagi menyelamatkan sebahagian perniagaan, kata pentadbir FRP Advisory dalam satu kenyataan.

“Setelah kedai Debenhams dapat dibuka semula dan stok dilancarkan secara berterusan di kedai, laman sesawang akan dikendalikan oleh Boohoo.

“Jualan penutupan akan diteruskan di kedai selama beberapa minggu sehingga stok ini selesai dan nilainya akan disimpan untuk pemiutang.

“Malangnya, semua kedai di UK akan ditutup secara kekal,” tambah kenyataan itu.

Satu sumber yang dekat dengan syarikat itu memberitahu AFP, ini bermaksud sekitar 12,000 orang akan hilang pekerjaan.

Debenhams, yang mempunyai sejarah kewujudan sejak akhir abad ke-18, berharap dapat menjual sebahagian dari 124 kedainya, dengan kakitangannya dibayar upah melalui skim Kerajaan Britain semasa pandemik.