KUCHING: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB) di seluruh Sarawak dilanjutkan hingga 14 Februari ini, kata Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak itu berkata, kes positif di Sarawak masih tinggi dan bilangan kawasan hijau semakin berkurangan.

“Susulan daripada itu, JPBN memutuskan PKP di Sibu akan dilanjutkan bermula 30 Januari, jam 12.01 pagi hingga 14 Februari, jam 11.59 malam.

“Sementara itu, pelaksanaan PKPB di bahagian lain di Sarawak akan berkuat kuasa bermula 1 Februari, jam 12.01 pagi hingga 14 Februari, jam 11.59 malam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media harian Covid-19 di Bangunan Dun Lama di sini, hari ini.

Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, setakat hari ini hanya 11 daripada 40 daerah berwarna hijau.

“Begitu juga daerah berstatus merah, jingga dan kuning kian bertambah saban hari.

“Ini menunjukkan situasi Covid-19 di Sarawak belum lagi terkawal,” jelasnya.

Terdahulu, JPBN memutuskan PKPB di seluruh bahagian dilaksanakan bermula 18 hingga 31 Januari manakala PKP di Bahagian Sibu berkuat kuasa dari 16 hingga 29 Januari ini.