MUKAH: Majlis Daerah Matu Daro (MDMD) memaklumkan bahawa penyambungan penutupan sementara beberapa aktiviti perniagaan dan pusat aktiviti di sekitar Daerah Matu dan Daro bermula semalam.

Menerusi notis yang dikeluarkan oleh Setiausaha MDMD, antara lokasi perniagaan terlibat adalah Pasar Tani Daro, Pasar Tani Tian, Daro Dao Uptown, Penjaja Pantai Kuala Matu, Pasar Malam Tanjung Manis, Pusat Aktiviti Matu dan Medan Selera Matu.

“Penutupan sementara akan bermula 27 Januari sehingga dimaklumkan kemudian kerana pertambahan kes jangkitan Covid-19 semakin meningkat.

“Untuk sebarang pertanyaan, orang awam boleh menghubungi pihak Seksyen Kesihatan dan Perkhidmatan Bandar di talian 017-8998774,” jelasnya.

Terdahulu pada 19 Januari Daerah Daro mencatatkan kes jangkitan Covid-19 kali pertama disusuli Daerah Matu pada 24 Januari manakala daerah terdekat Dalat kini zon merah.

Bagi daerah yang masih berstatus hijau dengan tiada jangkitan kes Covid-19 berlaku di Bahagian Mukah setakat semalam adalah Tanjung Manis, Matu, Daro dan Mukah.