KUCHING: Sebanyak 625 warga asing  diperiksa  Kuching melalui 36 Ops Jala di tapak pembinaan dan kedai makan  sejak 20 Januari lalu, kata Timbalan Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri (UKPN) Sarawak Datuk Mohamad Morshidi Mustapha  dalam sidang media di sini hari ini.

Katanya,  58 pendatang asing tanpa izin (Pati) dari Indonesia ditahan dalam Ops Jala disahkan negatif Covid-19 dalam ujian calitan   saringan pertama.

“Mereka kini masih dikuarantin dan akan menjalani ujian  calitan kedua nanti,” jelas beliau.

Beliau menjelaskan jika Pati terbabit didapati negatif  melalui calitan berkenaan nanti, dan tempoh kuarantin telah tamat, mereka akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

“Kita masih menumpukan operasi ke atas tapak pembinaan  dan kedai makan” katanya sambil menambah bahawa operasi juga dijalankan  di ladang.

Ladang yang dikenal pasti  menggaji mereka daripada kalangan Pati akan dijejaki nanti, katanya.

Jelasnya lagi, operasi akan  juga dijalankan  di kawasan lain di Sarawak termasuk di Sri Aman, Sarikei dan Sibu.

Beliau juga berkata, beberapa individu dikesan bertindak sebagai agen yang bertanggungjawab menguruskan kemasukan Pati ke negeri ini sebelum mereka dihantar kepada majikan tempatan.

Katanya, ada daripada agen terbabit telah diheret ke mahkamah.

Sebahagian daripada kes  jangkitan Covid-19 di Sarawak adalah berpunca daripada Pati yang masuk ke negeri ini.