KUALA LUMPUR: Peruntukan daripada tabung Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) boleh diagihkan pada tahun ini untuk memberi dua juta komputer serta pakej Internet percuma untuk setahun kepada murid-murid sekolah yang terpaksa menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akibat pandemik CoKompasvid-19, kata Datuk Seri Najib Tun Razak .

Datuk Seri Najib Razak berkata, kos bagi dua juta komputer bersama-sama  pakej Internet setahun dianggarkan sebanyak RM2 bilion.

“Cara ini juga yang pernah digunakan kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu untuk memberi sekitar 1.7 juta netbook 1Malaysia semasa saya PM.

“Dana juga dari tabung SKMM. Cara ini jauh lebih adil, lebih memanfaatkan dan lebih menyeluruh berbanding rancangan kerajaan PN sekarang untuk memaksa tabung simpanan rakyat seperti KWSP dan PNB menyumbang dana kepada skim pemberian 150,000 komputer bernilai RM150 juta,’ katanya dalam satu catatan di Facebook beliau.

“Yang perlu komputer sekarang, berjuta-juta murid sekolah. Yang diberi komputer pula, cuma 150,000? Dana dari tabung simpanan rakyat sendiri pulak!” katanya dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya pada Rabu.

Tabung SKMM tersebut diwujudkan kerajaan BN dahulu di mana semua telco besar dalam negara akan menyumbang sekitar RM2 bilion setiap tahun kepada tabung tersebut.

Ujar Najib, BN telah meninggalkan RM8 bilion dalam tabung semasa PRU-14.

Najib berkata, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) boleh pertimbangkan untuk menjual spektrum 5G secara open tender seperti dibuat negara-negara lain untuk memulihkan tabung SKMM tersebut untuk membiayai kos projek Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) bagi tahun 2022.

“Kerajaan BN semasa saya PM juga memerlukan lapan syarikat telco tempatan membayar berbilion-bilion untuk mendapat spektrum dan lesen 4G.

“Kerajaan PN tidak boleh sekali lagi memberi spektrum dan lesen 5G secara senyap-senyap tanpa tender dan terpaksa u-turn apabila pemberian itu terbongkar dalam media seperti apa yang berlaku tahun lepas,” tegasnya.