KUCHING: Polis sedang mengesan dua lelaki warga Indonesia yang memukul dan merompak seorang pemandu teksi di sebuah jalan di Kampung Belimbing, Serian petang semalam.

Ketua Polis Daerah Serian, Aswandy Anis berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada orang awam.

Susulan itu, katanya, polis telah melancarkan Op Kesan untuk mengesan kedua-dua suspek.

Tambah beliau, polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Serian turut meminta bantuan untuk dari IPD Sri Aman untuk mengesan suspek.

Ketika kejadian, Aswandy berkata, kedua-dua suspek telah menaiki teksi mangsa dari Kuching Sentral untuk ke Gedong dan Balai Ringin.

“Apabila tiba di Kampung Belimbing, suspek meminta pemandu untuk berhenti di tepi jalan dan memukul kepala pemandu. Pemandu sempat keluar dari kereta.

“Kedua-dua suspek telah melarikan teksi tersebut menuju ke Sri Aman,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Mangsa berusia 62 tahun telah dihantar ke hospital Serian untuk mendapatkan rawatan.

Sementara, kereta teksi milik mangsa telah ditemui di dalam hutan di belakang SK Telagus Jerak, Balai Ringin pagi tadi.

Kata Aswandy, kes disiasat di bawah seksyen 395 kanun keseksaan iaitu rompak berkumpulan.