KUCHING: Sarawak hari ini kembali merekodkan peningkatan kes baharu jangkitan Covid-19 dengan 205 kes dan tiga kematian baharu di Sibu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ini menjadikan keseluruhan kes positif di negeri ini meningkat kepada 3,704 kes manakala 33 kes kematian dicatatkan.

“Daripada jumlah tersebut, Daerah Sibu terus melaporkan kes tertinggi dengan 51 kes, diikuti Kanowit (41), Miri (32), Dalat (22), Bintulu (19), Kuching (10), Kapit (5), Lawas (5), Julau (4), Sarikei (4), Simunjan (3), Pakan (2), Betong (2), Meradong (2), Samarahan (1), Saratok (1) dan Marudi (1),” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 di sini, hari ini.

Mengulas mengenai tiga kematian baharu, Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata kematian ke-31 merupakan kes ke-3,460 yang melibatkan seorang lelaki warga tempatan (Sarawak) berumur 59 tahun yang telah mendapat rawatan di Hospital Sibu pada 22 Januari 2021 dan mula mengalami gejala demam dan batuk.

“Saringan ujian rT-PCR Covid-19 mendapati kes positif pada pada 22 Januari lalu malah keadaan kesihatan kes merosot dan telah disahkan meninggal dunia pada 9:17 pagi, 24 Januari lalu. Kes mempunyai komorbid iaitu penyakit darah tinggi dan atrial fibrilasi.

“Kes kematian ke-32 merupakan kes ke-3,461 melibatkan seorang lelaki warga tempatan (Sarawak) berumur 76 tahun yang telah mendapatkan rawatan di Hospital Sibu pada 22 Januari lalu kerana mengalami kesesakan pernafasan dan telah mengalami simptom demam, batuk berkahak sebelum ini.

“Setelah kes dimasukkan ke hospital, saringan ujian rT-PCR Covid-19 yang dijalankan di hospital adalah positif dan disahkan meninggal dunia pada 4:45 pagi, 25 Januari 2021,” ujarnya.

Tambah beliau, kes kematian ke-33 merupakan kes ke-3,659 melibatkan seorang lelaki warga tempatan (Sarawak) berumur 91 tahun yang telah mendapatkan rawatan di Hospital Sibu pada 24 Januari lalu kerana didapati tidak sedar diri oleh keluarganya.

“Keadaan kesihatan kes merosot dan disahkan meninggal dunia semalam.

“Ujian saringan rapid test kit antigen dan rT-PCR yang dijalankan di hospital adalah positif Covid-19 dan kes mempunyai komorbid seperti penyakit buah pinggang kronik, darah tinggi dan penyakit paru obstruktif kronik (COPD),” tambahnya.