KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) komited untuk memastikan semua pelajar institut pengajian tinggi (IPT) mampu mendapatkan capaian Internet walau di mana sahaja mereka berada  termasuk inisiatif mendapatkan tawaran terbaik daripada syarikat pembekal pelan data dan peranti.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata,  inisiatif itu penting dalam usaha KPT menjayakan aspek ekuiti untuk semua pelajar mendapat hak pendidikan yang setara tanpa jurang antara bandar dan  luar bandar.

“Sesungguhnya, akses kepada capaian Internet sangat kritikal bagi membolehkan pelajar menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian dengan kondusif.

“Tidak dinafikan, pelajar perlu menanggung kos yang tinggi bagi melanggani pakej pelan data untuk  capaian internet tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut beliau, sejak pelancaran Pakej Pelan Data dan Peranti kepada pelajar-pelajar (IPT) daripada kategori B40 bersasar pada 30 Oktober 2020, sebanyak 195,028 pelan data dan 3,773 peranti telah diedarkan kepada pelajar-pelajar IPT berkenaan sehingga 31 Disember 2020.