KUCHING: Individu yang mempunyai faktor berisiko digesa untuk tampil menjalani saringan calitan Covid-19 di klinik kesihatan atau hospital swasta berdekatan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) Dr Chin Zin Hing menegaskan, ia termasuk mereka yang pernah melakukan perjalanan merentas daerah ke kawasan berisiko tinggi dalam tempoh dua minggu lalu, sama ada mengunjungi ahli keluarga, rakan, atau menghadiri majlis seperti perkahwinan atau pengebumian.

“Antara daerah kawasan berisiko tinggi jangkitan Covid-19 ini termasuk Sri Aman, Betong, Sibu, Kanowit, Dalat, Miri, Beluru dan Sebauh.

“Sekiranya anda berasa tidak sihat dan mengalami gejala berisiko seperti batuk, demam, sakit tekak, kehilangan deria rasa atau bau dan badan berasa letih, dan telah melakukan perjalanan merentas daerah dalam tempoh dua minggu yang lalu, anda perlu menjalani saringan calitan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau menambah, mereka yang pernah dikunjungi oleh rakan atau sanak-saudara yang melakukan perjalanan rentas daerah dalam tempoh dua hari lalu juga perlu membuat saringan calitan Covid-19.

Zin Hing turut menasihatkan penduduk rumah panjang yang mengalami gejala yang sama untuk mendapatkan rawatan dan ujian pengesahan Covid-19.

“Ia susulan daripada banyak kes positif Covid-19 dikesan di rumah panjang sejak kebelakangan ini.

“Maka kerjasama anda amat membantu untuk memutuskan rantaian jangkitan wabak Covid-19,” kata beliau lagi.