LIMBANG: Selain Projek Pembinaan Limbang Waterfront Fasa 1 dan Fasa 2 yang akan siap pada tahun ini, beberapa projek pembangunan lain di Daerah Limbang yang kini sedang dilaksanakan juga turut diambil perhatian bagi memastikan ianya dapat disiapkan mengikut jadual dan mengikut spesifikasi yang ditetapkan agensi pelaksana.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, ini termasuklah Projek Pembinaan Jejantas Pejalan Kaki di Bangunan Tamu dan Bangunan KASTAM, Jalan Kubu dan Persimpangan Jalan Buangsiol, Jalan Bangkita dan Jalan Wong Tsap En.

“Kita juga ada projek yang ketiga ialah Jejantas Pejalan Kaki Melintas Bangunan Tamu dan Bangunan KASTAM, projek ini dijangka akan ditender pada bulan depan dan ianya akan menghubungkan Projek Waterfront fasa pertama dan terus ke Projek Waterfront fasa dua.

“Projek yang keempat, Jejantas Pejalan Kaki Melintas Jalan Kubu dan projek ini dijangka akan dapat diserahkan kepada kontraktor yang berjaya pada bulan Febuari ini.

“Projek yang kelima Jejantas Di Persimpangan Jalan Buangsiol, Jalan Bangkita dan Jalan Wong Tsap En telah siap, cuma kita mahu mana yang tidak menepati spesifikasi kita minta kontaktor untuk memperbetulkan kerja-kerja yang perlu kita perbaiki,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke Tapak Projek Tebingan Sungai Limbang pada Isnin.

Tambah Datuk Amar Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Kerajaan Sarawak menerusi Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) akan turut melaksanakan projek menaik taraf jalan utama menjadi dua jalan raya ke bandar Limbang.

“Kita akan menaik taraf jalan masuk ke bandar mengikut piawaian JKR U3 sepanjang 1.16 km.

“Agensi pelaksananya ialah Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) dan kos projek ini ialah RM15.9 juta, tempoh pelaksanaannya selama 15 bulan dan ianya dijangka siap pada Januari 2022.

“Jadi jalan inilah yang akan kita upgrade kepada jalan raya bersebelahan dengan projek waterfront kita,” tambahnya.

Siapnya kesemua projek akan mengubah landskap pembangunan di bandar Limbang ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Datu Ubaidillah Abdul Latif, Walikota Majlis Daerah Limbang Kaunselor Sufian Mohat dan Setiausaha Majlis Daerah Limbang Petrick Linggie Taboh.