BINTULU: Enam lelaki masing-masing dikompaun RM1,000 selepas didapati masih berada di sebuah premis rumah asap di Jalan Sibiyu yang masih beroperasi lebih masa, semalam.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendan Zulkipli Suhaili yang mengesahkan kejadian berkata kesemua suspek leka berhibur dengan mendengar muzik serta minum minuman keras sekitar jam 11 malam.

Menurutnya premis tersebut diserbu oleh sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah IPD Bintulu ketika membuat pemantauan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Kesemua penghuni premis yang ditahan merupakan lelaki tempatan berumur lingkungan 40 tahun 62 tahun.

“Mereka telah dikompaun di bawah Peraturan 3 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tegasnya, pihak polis khususnya IPD Bintulu sentiasa melakukan pemantaun harian ke atas premis-premis untuk memastikan kesemua masyarakat mematuhi SOP PKPB dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.