PADAWAN: Sebuah pusat Refleksologi di kawasan Bandar Batu Kawa (MJC) disyaki beroperasi secara bersembunyi dengan menggunakan khidmat warga asing diserbu polis semalam.

Serbuan sekitar jam 2 petang yang dijalankan oleh sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah bersama Pasukan Peronda Polis dan Pasukan Khas IPD Padawan pada awalnya mendapati pintu hadapan premis tersebut dalam keadaan berkunci.

Walaubagaimanapun pintu belakang premis tersebut akhirnya dibuka oleh seorang wanita warga China yang mengaku sebagai penjaga premis selepas 30 minit polis memberikan arahan untuk membuka pintu terbabit.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata hasil pemeriksaan awal di dalam premis mendapati terdapat seramai 12 orang warganegara China, Filipina dan Vietnam masing-masing berumur lingkungan 28 tahun hingga 54 tahun berada di ruang menunggu dalam premis.

“Hasil siasatan awal terhadap penjaga premis, dia mengaku telah bekerja di premis tersebut selama lebih kurang enam tahun sebagai penjaga kaunter.

“Suspek turut mengaku bilik karaoke yang terletak di bahagian belakang premis pusat urut tersebut tidak mempunyai lesen hiburan.

“Manakala kesemua pekerja warga asing yang berkumpul di ruang menunggu dipercayai sedang menunggu pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dedahnya kesemua tangkapan dan rampasan termasuk sebuah buku catitan dipercayai buku daftar pelanggan bertulis ‘Exercise Book’ dibawa ke Balai Polis Batu Kawa untuk tindakan lanjut.

Tambahnya siasatan lanjut masih diteruskan untuk mendapatkan semakan pengesahan dokumen serta permit kerja dari Jabatan Imigresen serta Majlis Perbandaran Padawan kesemua warga asing tersebut.

Ujarnya kes diklasifikasikan di bawah Peraturan 3 Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan)(Kawalan Pergerakan Pemulihan) 2021, Sek 269 Kanun Keseksaan, Sek 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Sek 5(1) Ordinan Hiburan 2000.