KUCHING: Sebuah rumah berstruktur kekal di Kampung Sudat Jalan Datuk Stephen Yong yang didiami tiga penghuni nyaris terbakar secara keseluruhan, di sini, hari ini.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak kebakaran telah memusnahkan 80 peratus daripada keseluruhan kediaman yang bersaiz 46 x 32 persegi itu.

Kenyataan itu menjelaskan pihaknya telah menerima laporan kejadian sekitar jam 3.12 petang sebelum menggerakkan seramai 13 orang anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang ke lokasi kejadian.

Pasukan operasi yang tiba ke lokasi berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke bahagian stor pertukangan yang berukuran 40 x 24 berada tidak jauh dari rumah yang terbakar.

Ketiga-tiga penghuni kediaman terbabit difahamkan berjaya menyelamatkan diri dan tiada kemalangan jiwa susulan kejadian.

“Operasi pemadaman tamat pada jam 5.05 petang setelah keadaan kebakaran sudah dipadamkan sepenuhnya,” ujar kenyataan itu.