SARIKEI: Tiga lelaki diberkas selepas bertindak merosakkan barangan dalam sebuah kedai makan di Jalan Pinang Laka di sini, semalam.

Insiden jam 8.47 pagi itu mengakibatkan pemilik kedai berkenaan mengalami kerugian kira-kira RM3,000.

Ketua Polis Daerah Sarikei, Superitendan Awang Alfian Awang Bujang berkata,  suspek masing-masing berusia 55 hingga 57 tahun itu ditahan di sekitar bandar ini, sekitar jam 3.15 dan 5.28 petang.

“Seorang lagi suspek (tidak dinyatakan usia) ditahan malam tadi. Mereka masing-masing bekerja sebagai pekebun dan peladang. Seorang daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya kepada media.

Beliau berkata,  ketika kejadian itu, mangsa, 40 tahun dalam laporannya mendakwa didatangi dua orang lelaki yang kemudiannya merosakkan barang- barang di dalam kedai makan miliknya.

Suspek katanya,  menggunakan kayu sambil mengarahkan kedai tersebut tidak boleh dibuka.

“Difahamkan kejadian ini berlaku akibat salah faham dalam perniagaan. Bagaimanapun punca sebenarnya masih dalam siasatan.

“Polis juga mendapatkan perintah tahanan reman di mahkamah.  Kes di siasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat kepada harta benda,” ujarnya.

Kejadian sempat dirakam sebelum menjadi tular di laman sosial Facebook sejak semalam.