KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah yakin bahawa semua pemimpin, ahli dan penyokong Umno/Barisan Nasional (BN) di semua peringkat ingin parti kembali gagah sebagaimana dulu.

Dalam hal ini beliau yang juga Pengarah Komunikasi BN yakin ia boleh dilakukan namun ada syaratnya.

“Semua pemimpin termasuk saya dan ahli Umno/BN mesti bersepakat, jaga perpaduan dan fokus perkukuhkan parti.

Letakkan kepentingan parti sebagai keutamaan. Berikan tumpuan membela dan menjaga kepentingan rakyat.

“Dekatkan parti dan diri kita sebagai pemimpin dengan rakyat. Bila kita dekati rakyat. Rakyat rapat dengan kita. Ini mesti dilakukan disemua peringkat,” katanya dalam hal berkaitan menerusi kenyataan di Facebooknya.

Tegas beliau, berbeza pandangan boleh kerana ia keterbukaan memang amalan parti.

“Namun tiada maknanya keterbukaan jika merosakkan parti. Oleh itu, kebebasan bercakap tidak bermaksud kita boleh berkata apa-apa saja hingga memberi kesan negatif pada parti.”

Ujarnya lagi, pastikan apa saja yang dilakukan menguntung dan memberikan kebaikan pada Umno/BN.