KUCHING: Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) menyokong penuh usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meningkatkan kerjasama dengan beberapa stesen televisyen untuk menambah tempoh masa siaran TV Pendidikan.

Presidennya Ahmad Malie berkata, TV Pendidikan merupakan medium alternatif bagi guru dan murid yang menghadapi masalah capaian Internet ketika pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Menurutnya, dengan adanya program TV Pendidikan itu, sekurangkurangnya ia dapat membantu guru dan murid untuk berinteraksi tentang tajuk pembelajaran.

“Dengan menambah tempoh masa siaran ini, KGBS percaya ia dapat memberikan peluang kepada murid-murid yang mengalami masalah capaian Internet untuk mengikuti PdPR dengan lebih mudah serta menyeronokkan.

“Ini kerana penerimaan siaran televisyen lebih mudah diakses di kebanyakan lokasi terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya menerusi kenyataan baru-baru ini.

Tambahnya, TV Pendidikan berbentuk audio visual yang kreatif juga dipercayai dapat menarik minat murid-murid mengikuti PdPR dengan lebih baik.

“Yang lebih jelas ia tidak membebankan ibu bapa atau penjaga dengan kos kewangan kerana boleh dikatakan semua keluarga mempunyai set televisyen di rumah berbanding peranti selular,” ujarnya.

Pada masa yang sama katanya, KGBS juga mencadangkan agar siaran TV Pendidikan dijadualkan setiap hari dan lebih fokus kepada kelas tahap satu di sekolah-sekolah rendah.

“KGBS menyarankan sedemikian kerana murid-murid pada tahap ini belum mahir untuk mengikuti PdPR secara individu. “Dengan adanya TV Pendidikan, ia dapat mengurangkan kebergantungan murid tahap ini kepada ibu bapa mereka, memadai dengan bantuan adik-beradik yang berada dalam kelas yang lebih tinggi,” jelasnya.

Beliau memberitahu, murid tahap satu perlu menguasai kemahiran minimum iaitu membaca, menulis dan mengira sebagai persediaan untuk melangkah ke tahap lebih tinggi.

“Bagaimanapun, ini tidak bermakna kita mengabaikan muridmurid di peringkat yang lain. “TV Pendidikan ini juga perlukan masa ulang siaran untuk memudahkan murid mengikuti semula dan lebih memahami tajuk yang telah disampaikan,” tegasnya.

Terdahulu, KKM bercadang untuk meningkatkan kerjasama dengan beberapa lagi stesen televisyen bagi menambah tempoh masa rancangan TV Pendidikan.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Habibah Abdul Rahim berkata ia berikutan lebih 90 peratus kediaman di seluruh negara memiliki televisyen, sekali gus mampu menjadikan capaian rancangan TV Pendidikan lebih meluas.