Saturday, December 4, 2021

Siapa sebenarnya diktator, Mahathir atau Muhyiddin?

Secara Rawak

PADA minggu lalu dalam satu temu bual dengan stesen radio BFM, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin seorang diktator. Menurut Pengerusi Pejuang itu, penguatkuasaan darurat dibuat bagi membolehkan Perdana Menteri terus berkuasa.

Itu satu tuduhan berat dan label yang mana-mana pemimpin negara demokrasi tidak mahu dipasakkan di dahi mereka. Punca bekas Perdana Menteri memberi label negatif itu terhadap Muhyiddin adalah meskipun sudah melaksanakan PKP, namun beliau tetap memilih untuk melaksanakan darurat kerana terdesak untuk mengekalkan kuasanya.

Siapakah yang sebenarnya kuku besi atau diktator? Muhyiddin atau Dr Mahathir? Dr Mahathir agaknya sudah lupa sepanjang menjawat jawatan Perdana Menteri dari 1981 hingga 2003, beliau sendirilah lebih bersikap diktator.

Buktinya, telitikan sahaja bagaimana beliau menggunakan instrumen kerajaan dan undang-undang tertentu termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ketika beliau berkuasa. Berapa orangkah yang dijaring di bawah ISA? Telitikan pula bagaimana beliau mengawal media dan akhbar di negara ini? Penarafan Malaysia dari segi kebebasan akhbar adalah teruk.

Siapakah yang memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri? Siapakah pula yang memecat Tun Salleh Abas sebagai Ketua Hakim Negara? Yang pasti, diktator dibenci orang meskipun pada awalnya digantung harap untuk menyelamatkan negara dan rakyat. Selepas Dr Mahathir memecat Anwar pada 1998, beliau begitu dibenci oleh rakyat Malaysia.

Seyogia diingat, Dr Mahathir sendiri mengakui pada 27 Mac 2016 bahawa beliau ialah diktator. Namun, dalam tulisannya pada 2017 dan 2018, Dr Mahathir menafikan beliau diktator. Banyak pihak yang mengakui bahawa bekas Perdana Menteri itu ialah diktator, termasuk mereka yang pernah bekerja di bawah beliau.

Ketika wawancara dengan akhbar Singapura, The Straits Times pada 2019, anak Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah meluahkan rasa kecewanya dengan kerajaan PH yang gagal menunaikan janji dan gagal menggerakkan agenda reformasi seperti yang sepatutnya. Nurul Izzah juga berkata beliau sukar untuk bekerja dengan Dr Mahathir, yang dianggapnya bekas diktator yang menyebabkan banyak kerosakan kepada keluarganya dan negara.

Ada pihak yang menyifatkan Dr Mahathir sebagai diktator politik, dan atas sifat itulah beliau berkonfrontasi dengan semua Perdana Menteri, daripada Tunku Abdul Rahman sehingga perdana menteri sekarang, kecuali mungkin Tun Abdul Razak.

Dengan sifat diktator politik inilah Dr Mahathir mencantas semua pimpinan Umno dan timbalan Perdana Menteri yang menggugat kedudukannya, daripada Tengku Razaliegh sehingga Anwar Ibrahim. Malah beliau juga pimpinan politik yang berani menyanggah atau bermusuhan dengan raja-raja Melayu sehingga tercetusnya krisis perlembagaan.

Gaya pemerintahan diktator ialah terpusat dan kuat serta tegas. Adakah Mahathir tergolong dalam ciri berkenaan? Kekuasaannya menyebabkan rakyat sering terbius, apatah lagi dengan penguasaan dan cengkaman media di bawahnya. Bangsa yang sudah terbiasa dengan penjajahan mental, sering bungkam dan bisu di bawah telapak kaki diktator.

Sesungguhnya, seorang diktator sering mencari kekuasaan dan kekuatan mutlak dengan menyalahgunakan kuasa, instrumen hegemoni dan undang-undang negara.

Seorang diktator ialah seorang egomania yang menganggap dirinya sahaja yang pandai, lebih daripada orang lain, dan menganggap dirinya sahaja yang mampu memimpin.

Diktator mahu lama berkuasa , malah taasub dan mabuk dengan kuasanya apatah lagi apabila dikelilingi ‘yes men’.

Kalau Lim Kit Siang yang memberi label sedemikian kita boleh faham, tetapi tentu ada sebab mengapa orang seperti Anwar, Tun Musa Hitam dan Tengku Razaleigh Hamzah memberi label itu kepada Dr Mahathir. Banyak tulisan, termasuk dalam tesis dan buku yang menyifatkan Dr Mahathir sebagai pemimpin kuku besi, termasuk dalam karya Barry Wain, Malaysian Maverick, Tommy Thomas dalam Abuse of Power dan buku hasil tesis PhD karya Tan Sri Rais Yatim, The Rule of Law and Executive Power in Malaysia: A Study of Executive Supremacy.

Anda tentu masih ingat ketika emosi rakyat menggelegak ekoran pemecaat Anwar oleh Dr Mahathir pada 1998, bagaimana banyak label negatif dilemparkan terhadap beliau, termasuk Maha Firaun dan Maha Zalim. Gelaran, seperti label untuk sesuatu jenama, sukar untuk dikikis. Berasas atau tidak, gelaran melekat sepanjang hayat. Oleh itu, dari segi teknik propaganda, gelaran amat berguna dalam politik, terutama gelaran yang mencalar imej dan reputasi musuh.

Dalam tulisan melalui blognya pada 2012, Dr Mahatir bertanya: “Apakah yang saya lakukan yang menyamakan sifat dan perbuatan seorang diktator?”

Apakah yang dimaksudkan dengan diktator? Pemimpin yang bagaimanakah yang dapat dikategorikan sebagai diktator atau kuku besi? Diktator ialah pemimpin yang berkuasa mutlak dan berupaya melaksanakan undang-undang sendiri tanpa perundingan dengan pihak atau badan lain.

Pemimpin berkenaan memerintah secara tirani atau kuku besi, dan menindas rakyatnya secara kejam. Media propembangkang dibungkam dan dicengkam, kerajaan negeri di bawah pentadbiran pembangkang ditekan, Parlimen atau Dewan Undangan Negeri digantung tanpa had tempoh.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang diktator dunia, ada baiknya anda membaca buku The Great Dictators of The Modern World tulisan Jules Archer.

Menurut penulis ini, diktator ialah seorang penguasa yang mencari dan mendapatkan kekuasaan mutlak pemerintahan tanpa memperhatiakan keinginan nyata rakyatnya. Kekuasaan mutlak itu itu dapat diperolehnya. Baik dengan jalan sah, misalnya melalui pilihan raya umum mahupun melalui jalan tidak sah seperti rampasan kuasa atau kudeta.

Dengan itu, menurut beliau, seorang diktator bukan melulu peribadi rosak, kejam atau tidak bermoral, kerana ada diktator yang taat agama. Persoalannya, adakah Muhyiddin melakukan itu atau Dr Mahathir banyak melakukannyanya?

Antara diktator terkenal dunia ialah Mao Zedong, Robert Mugabe, Mobutu Sese Seko, Hosni Mubarak, Adolf Hitler, Francisco Franco, Idi Amin, Suharto dan Benito Mussolini.

Dalam satu senarai, Dr Mahathir antara nama yang dikategorikan sebagai pemimpin diktator. Untuk menggambarkan dirinya bukan diktator, Dr Mahathir melalui satu tulisan memetik episod ketika beliau berada di Kaherah, Mesir. Katanya: “Semasa saya berada di Kaherah pada zaman Mubarak untuk bermesyuarat, apabila Presiden Mubarak bermotor dari istananya ke tempat persidangan, jalan yang dilalui olehnya dikosongkan dan askar bersenjata lengkap berderet sepanjang jalan.

Kata Dr Mahathir lagi: “Musuh Mubarak tidak dibenar berpolitik, sering ditangkap, dikurung tanpa dibicara dan dihilangkan. Selama 30 tahun Mubarak menjadi Presiden, pemilihan bagi jawatan ini tidak pernah ditandingi oleh orang lain. Sebanyak 99 peratus daripada undi didapati oleh Mubarak.

Tidak ada kebebasan bersuara atau akhbar bebas. Tidak ada pilihan raya untuk ahli dewan. Siapa sahaja boleh dilantik oleh Mubarak untuk menjadi menteri. Mereka juga boleh dibuang bila-bila sahaja.”

Jadi, mesej yang cuba dihantar oleh Dr Mahathir ialah, beliau sama sekali bukan diktator berbanding dengan Mubarak.

Akhirnya beliau menulis: “Saya ingin tahu daripada pelawat ke blog saya tentang apakah yang saya telah lakukan semasa saya menjadi Perdana Menteri Malaysia yang menjadi bukti bahawa saya ialah seorang diktator.”

Ya, siapa sebenarnya diktator: Muhyiddin atau Dr Mahathir?

Dr Jeniri Amir ialah Felo Kanan Majlis Profesor Negara.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru