Sunday, December 5, 2021

Seludup tong gas ke Indonesia, lelaki tempatan ditahan

Secara Rawak

KUCHING: Sebanyak 31 unit tong gas Petronas dirampas selepas cuba diseludup masuk ke Indonesia menerusi jalan gajah di Ladang Sawit Raso Lundu, pada Sabtu.

Namun tindakan mencurigakan sebuah kenderaan yang membawa barang kawalan itu dikesan oleh Pasukan Khas Op Benteng Pasukan Gerakan Am (PGA) ketika membuat rondaan sekitar jam 6.15 petang.

Komander Briged PGA Sarawak SAC Mancha Ata yang mengesahkan kejadian berkata kenderaan jenis Mitsubishi Pajero terbabit dipandu oleh seorang lelaki warga tempatan.

“Suspek cuba melakukan aktiviti penyeludupan 31 unit tong gas tanpa permit sah dengan menggunakan jalan yang tidak diwartakan di sempadan kedua-dua negara.

“Kesemua barang kawalan termasuk sebuah kenderaan yang dianggarkan bernilai RM36,200 secara keseluruhan telah dirampas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya suspek kini turut ditahan bagi siasatan kes di bawah Seksyen Akta Kawalan Bekalan 1961 dan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk tindakan siasatan lanjut.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru