KUALA LUMPUR: Perdana Menteri  berkata pemimpin parti dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) berpuas hati dengan penjelasan dan perbincangan mengenai Ordinan Darurat.

Sehubungan itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan rasa syukur dengan Mesyuarat Majlis Presiden Kerajaan PN petang semalam secara atas talian (VC)  yang berlangsung dalam suasana akrab dan muhibah.

“Mesyuarat yang saya pengerusikan telah dihadiri oleh 12 presiden parti dari BERSATU, Umno, PAS, PBB, MCA, MIC, PRS, SUPP, PDP, PBS, STAR dan SAPP manakala PBRS diwakili timbalan presiden,” katanya menerusi hantaran Facebook rasmi beliau, malam tadi.

Menurut Muhyiddin lagi, mesyuarat yang berlangsung selama lebih kurang dua jam itu menyambut baik taklimat mengenai Proklamasi Darurat daripada Menteri di Jabatan Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato’ Takiyuddin Hassan, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Dato’ Dr Norhizan Ismail.

“Pelbagai isu telah dibincangkan dan kesemua ahli mesyuarat berpuas hati dengan penjelasan dan perbincangan panjang lebar mengenai Ordinan Darurat dan pengurusan darurat serta pengurusan pandemik Covid-19 dan pelan imunisasi vaksin yang akan bermula pada bulan Februari 2021,” ujar Presiden Bersatu itu.

Katanya,  Majlis Presiden Kerajaan PN akan terus menjadi platfom perbincangan tertinggi bagi kesemua parti politk dalam Kerajaan PN.

Ini, jelasnya demi memastikan kestabilan politik dan kelancaran pentadbiran kerajaan serta menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat dan negara.