KUCHING: Yang di-Pertuan Agong perlu mengeluarkan ordinan baharu dalam tempoh Darurat agar Sarawak dapat mengadakan PRN tahun ini. P

akar Undang-Undang Perlembagaan Profesor Datuk Dr Shad Saleem Faruqi berkata, jika Darurat berakhir pada 1 Ogos, undang-undang akan menangguhkan pilihan raya dan akan terus berkuat kuasa selama enam bulan lagi mengikut Artikel 150 (7) Perlembagaan Persekutuan.

“Pada pandangan saya, sebelum Darurat berakhir dan sementara Yang di-Pertuan Agong masih mempunyai kuasa untuk berunding dengan Yang di-Pertua Negeri untuk mengadakan pilihan raya secepat mungkin, baginda perlu mengeluarkan ordinan untuk membenarkan pilihan raya di negeri ini,” katanya semasa ceramah dalam talian anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0 baru-baru ini.

Menurutnya, semasa Darurat peruntukan dalam Jadual Lapan menyatakan bahawa pilihan raya mesti diadakan dalam masa 60 hari selepas pembubaran Dewan Undangan telah ditangguhkan.

Sementara itu, Ketua Strategi Hak Asasi Manusia, Pusat Konstitusionalisme dan Hak Asasi Manusia Malaysia (MCCHR) Firdaus Husni berkata, “Dalam waktu ini (Darurat), jika ada keperluan untuk membincangkan pilihan raya, perundingan antara Yang di-Pertuan Agong dan Yang di-Pertua Negeri Sarawak harus dilakukan,” ujarnya.

Firdaus berkata, berdasarkan Fasal 150 (7), setiap ketetapan yang diperuntukkan berdasarkan Proklamasi Darurat akan dikenakan selama enam bulan setelah darurat tersebut ditamatkan.

“Ketika itu, kesan penangguhan parlimen dan pilihan raya tetap berlaku.  Selepas habis enam bulan, pandangan saya adalah bahawa parlimen akan dibubarkan, hanya selepas itu pilihan raya akan diadakan dalam enam puluh hari akan datang,” jelasnya.

Pada Jumaat lalu, dilaporkan bahawa anggota Kabinet Sarawak merancang untuk memohon kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menarik balik perintah darurat di Sarawak sekiranya keadaan Covid-19 di negeri ini dapat dikawal.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr James Jemut Masing berkata, jika rayuan itu dipertimbangkan dengan baik, ia akan membuka jalan bagi PRN  ke-12 kerana tempoh Dun akan berakhir pada Jun.