KUALA LUMPUR: Beberapa portal berita melaporkan bahawa Dewan Perdagangan dan Industri Kesatuan Eropah (EU)-Malaysia (EuroCham) dimaklumkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesyorkan satu ‘complete economic shutdown’ selepas 4 Feb jika kes harian Covid-19 masih tinggi.

Menurut Ketua Penerangan Umno Malaysia, Shahril Hamdan, khabar seperti ini yang disampaikan oleh pihak lain boleh menimbulkan kekeliruan dalam  kalangan rakyat Malaysia tambahan pula kes harian mencecah 4,275 semalam, angka paling tinggi semenjak penularan manakala hari ini kes masih tinggi pada paras 3,346.

Justeru kata Shahril, timbul persoalan mengapakah MITI memberi info kepada EuroCham terlebih dahulu.

“Kenapa MITI beri info berkenaan pengesyoran KKM? Bukankah sepatutnya rahsia, terutamanya jika ia hanya pengesyoran dan belum lagi keputusan?

“Kemudian setelah ‘bocor’, di manakah penjelasan rasmi kerajaan kepada rakyat?” soalnya lagi dalam satu hantaran di Facebook.

Katanya, kerajaan perlu menjawab khabar sebegini dengan segera.

“Jika tidak benar, kerajaan perlu menafikannya. Tetapi jika benar, kerajaan perlu berterus terang dengan rakyat.

“Berikan masa yang mencukupi untuk bersiap sedia jika memang ada niat mahu melaksana ‘lockdown’ yang lebih ketat,” ujarnya.

Ulasnya lagi, rakyat tidak minta untuk tahu seluruh butiran mesyuarat atau setiap perbezaan pandangan antara agensi atau kementerian.

“Itu hal dalaman kerajaan yang telah dipertanggungjawab. Yang kita mahu adalah ketetapan rasmi dan strategi jelas yang mampu meyakinkan segenap pihak.

“Rakyat, pekerja, majikan – semuanya, mahu kepastian, bukan kekeliruan,” gesanya lagi.