BINTULU: Seorang lelaki disahkan maut dalam kemalangan jalan raya di Batu 17 Jalan Bintulu-Miri ,di sini, hari ini.

Kemalangan sekitar jam 8.05 pagi itu membabitkan kereta Persona dan kenderaan pikap jenis Hilux bertembung berhampiran simpang Sebauh.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Supt Alexson Naga Chabu mengesahkan mangsa maut dikenali sebagai Ano Umin, 48, iaitu pemandu Persona telah meninggal dunia serta merta di lokasi kejadian.

“Kejadian berpunca selepas kereta dipandu mangsa cuba membuat pusingan ‘U’ lalu dilanggar oleh Hilux yang bergerak lurus dari arah Bintulu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu katanya pemandu Hilux turut mengalami kecederaan di bahagian kepala dan juga badan.

Ujarnya kes masih lagi dalam siasatan Di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.