PADAWAN: Seorang lelaki warga Indonesia dan wanita tempatan ditangkap selepas disyaki menjadi ejen jualan judi dalam talian dan loteri awam tanpa lesen.

Kedua-dua suspek ditahan dalam dua operasi berasingan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Bau semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki warga Indonesia di sebuah pondok di Kampung Punau berhampiran Batu 17 Jalan Puncak Borneo sekitar jam 6.35 petang.

“Suspek, 26, mengaku bekerja sebagai pekerja judi dalam talian dan ketika serbuan polis turut menjumpai seunit telefon bimbit serta wang tunai RM195 disyaki barangan kes.

“Tangkapan ini akan direman sehingga tempoh 14 hari berikutan suspek merupakan Pendatang Asing tanpa izin (Pati),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tegasnya, suspek kini ditahan di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Manakala tangkapan kedua katanya, melibatkan seorang wanita berusia 32 tahun hasil serbuan pasukan sekitar jam 6.40 petang di sebuah kedai makan di Kampung yang sama.

Menurut Aidil suspek yang telah berkahwin itu mengaku menjalankan penjualan loteri awam kepada pelanggan di sekitar kawasan itu ketika disoal siasat.

“Turut dirampas seunit telefon bimbit jenama Alcatel, dua keping kertas bertulis angka-angka, dan wang tunai berjumlah RM359,” katanya.

Dedahnya hasil semakan rekod polis mendapati suspek wanita itu mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Ujarnya, suspek bagaimanapun telah direman hari ini.