SERIAN: Seorang lelaki tempatan ditahan selepas cuba menyeludup lima pendatang asing tanpa izin (Pati) di dalam sebuah kenderaan di bawah Jambatan Sadong Jalan Serian-Sri Aman pada Sabtu.

Komander Briged Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak SAC Mancha Ata berkata kenderaan dinaiki semua suspek diserbu oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Risik Batalion 11 ketika berhenti di tempat letak kereta sekitar jam 9.40 malam.

“Pemeriksaan mendapati kesemua Pati tidak memiliki permit kerja sah serta tinggal di Malaysia melebihi tempoh.

“Turut dirampas sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux yang digunakan untuk aktiviti penyeludupan Pati itu dan dianggarkan jumlah keseluruhan barang rampasan bernilai RM56,600,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan lain Mancha turut mendedahkan pihaknya berjaya memberkas tiga lelaki tempatan disyaki cuba menyeludup masuk lima Pati di Pasar Baki Jalan Lama pada Sabtu.

Katanya dua buah kenderaan yang dinaiki oleh suspek ditahan sekitar jam 11.40 malam setelah diekori pasukan risikan keluar dari Jalan Tebekang sehingga ke Jalan Serian-Kuching.

“Kesemua Pati tidak memiliki dokumen sah untuk memasuki Malaysia.

“Pasukan operasi seterusnya merampas dua buah kenderaan, lima buah telefon bimbit pelbagai jenis, wang tunai RM5780 dan anggaran nilai keseluruhan rampasan adalah RM60,880,” katanya.

Tegasnya, kesemua tahanan dan rampasan dibuat Di bawah Seksyen 15 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959 (Akta 155) dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Ujarnya suspek dan rampasan bagi kedua-dua kes telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Serian untuk tindakan siasatan lanjut.