MIRI: Dua lokaliti di Daerah Subis telah dikenakan ‘lock-down’ atau Perintah Sekatan Pergerakan berkuatkuasa serta-merta susulan penularan wabak COVID-19 di kawasan tersebut. 

Menurut kenyataan media Menteri Pengangkutan Sarawak yang juga merupakan Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin pada Isnin, memaklumkan dua lokaliti itu ialah Ladang Kelapa Sawit Suai Niah dan Rumah Sabang Empungan, KM12 Jalan BLD Sungai Sawai Suai, Niah.

“JPBB Miri telah bersetuju untuk menguatkuasakan perintah ‘lock down’ ke atas dua lokaliti dan mendapat kelulusan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

“Dua lokaliti yang dikenakan perintah ‘lock down’ ialah dua estet di Ladang Kelapa Sawit Suai Niah dan Rumah Sabang Empungan, KM12 Jalan BLD Sungai Sawai Suai, Niah.

Sementara itu, susulan daripada keputusan JPBB Miri pada Ahad, Pegawai Daerah Subis, Jamalie Busri telah mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Subis pada Isnin. 

Mesyuarat tersebut yang turut dihadiri beberapa agensi kerajaan diadakan bagi memperincikan lagi tindakan dan langkah susulan yang harus diambil berhubung penguatkuasaan ‘Lock-Down’ di dua lokaliti terbaru di Daerah Subis. 

Dua lokaliti tersebut telah dikenakan Perintah Sekatan Pergerakan berkuatkuasa serta merta untuk tempoh 14 hari bermula dari tarikh 25 Januari sehingga 8 Februari 2021.