MIRI: Pengurusan Hospital Miri membuat keputusan untuk menggantikan keseluruhan kakitangan di Jabatan Kecemasan dan Trauma dengan kakitangan dari jabatan lain.

Perkara ini dimaklumkan Menteri Pengangkutan yang juga Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri menerusi penjelasan Pengarah Hospital Miri, Dr. Jack Wong Siew Yu dalam kenyataan media pada Ahad.

Pengurusan Hospital Miri juga bertindak meminimakan aktiviti perkhidmatan perubatan di jabatan-jabatan lain bagi memberi fokus kepada pengurusan pesakit COVID-19 susulan daripada peningkatan jumlah kes COVID-19 di Daerah Miri.

Tindakan ini membolehkan pihak hospital melaksanakan mobilisasi kakitangan untuk membantu Jabatan Kecemasan dan Trauma.

Selain itu, pihak hospital juga menerima tambahan petugas kesihatan daripada daerah-daerah lain.

Ini susulan daripada beberapa pertanyaan daripada orang ramai berhubung keadaan terkini Hospital Miri khasnya Jabatan Kecemasan dan Trauma (ETD).

Hospital Miri mula menerima kes positif COVID-19 di kalangan petugas kesihatan sejak 11 Januari 2021

Dalam pada itu, pakar-pakar di kalangan perubatan kecemasan yang disahkan negatif COVID-19 telah dibenarkan untuk memantau keseluruhan operasi di Jabatan Kecemasan dan Trauma.