BINTULU: Sebanyak tiga buah rumah panjang dari Ulu Segan yang terputus hubungan akibat banjir menerima bantuan makanan yang disumbangkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Bintulu.

Menurut pegawai JKM Bahagian Bintulu Taddy Anjin memberitahu, mereka yang menerima bantuan makanan ini terdiri daripada 71 buah keluarga iaitu Rumah Andi, Rumah Selanjat dan Rumah Eloh, Ulu Segan.

“Bantuan hanya diberikan kepada mangsa atau kawasan yang tidak dapat bergerak keluar untuk mendapatkan makanan.

“Jika ada kawasan yang terputus hubungan dan memerlukan bantuan, segera memaklumkannya kepada agensi penyelamat atau Pejabat Daerah yang berdekatan bagi memudahkan penyelarasan bantuan dilakukan,” katanya semasa ditemui semasa mengagihkan bantuan makanan pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati penduduk agar sentiasa berhati-hati ketika banjir dan menjaga keselamatan dengan memadamkan punca kuasa elektrik serta simpan semua dokumen penting agar tidak basah dan hilang akibat banjir.

Turut serta dalam menghantar bantuan makanan ini ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bahagian Bintulu dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).