BAU: Seramai tiga lelaki tempatan terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan 11 Pendatang asing tanpa izin (Pati) berjaya ditangkap di sekitar daerah Bau semalam.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata, tangkapan terbabit antara kejayaan hasil Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah dijalankan seramai sembilan pegawai dan 28 anggota polis daripada pelbagai cawangan.

“Tiga lelaki iaitu warga tempatan kini ditahan Di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

“Manakala Pati terdiri daripada enam lelaki dan lima wanita yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah telah diusir pulang semula ke sempadan Malaysia-Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau operasi sama turut mengeluarkan sebanyak empat saman trafik terhadap pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan-kesalahan lalu lintas.

Tegas Poge, operasi besar-besaran seperti itu akan dilakukan secara berterusan sebagai usaha mencegah jenayah serta mengekang kemasukkan Pati.

Beliau turut menyeru agar masyarakat memberikan kerjasama baik kepada pihak polis dalam membanteras jenayah bagi menyumbang kepada keamanan dan keharmonian khususnya di kawasan Bau.