KUCHING: Usaha untuk menambah nilai setiap pokok yang ditebang di hutan Sarawak harus menjadi agenda utama industri perusahaan kayu di negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Pendekatan ini amat sesuai dengan kehendak masyarakat antarabangsa ke arah pembangunan hutan lestari,” ujarnya dalam ucapan balas sempena Majlis Memeterai MoU antara Unimas dan Institut Teknologi Bandung (ITB) di pejabat beliau di sini pada Jumaat.

Majlis tersebut menyaksikan interaksi secara fizikal dan maya dengan pihak Unimas dan ITB. MoU berkenaan merupakan langkah ke arah kaedah lebih sistematik antara kedua-dua universiti mempertingkatkan kolaborasi dalam bidang akademik dan reka bentuk perabot melibatkan anak-anak muda Sarawak pada masa akan datang.

Pada ketika ini, Perbadanan Perusahaan Kayu Sarawak (Pusaka) dan ITB sudah mempunyai gagasan kerjasama apabila puluhan anak muda Sarawak sudah dan sedang mendapat latihan mereka bentuk perabot di Kampus ITB.

Abang Johari berkata, usaha menambah nilai hasil kayukayan negeri ini dalam bidang perusahaan perabot amat memerlukan latihan sistematik seperti yang disediakan oleh ITB melalui Fakulti Seni Rupa dan Rekaannya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada ITB yang sedia menjalinkan kerjasama dengan Sarawak melalui Pusaka dan Unimas. Menghurai lanjut mengenai usaha ke arah kerjasama antara Indonesia dan Sarawak beliau memberitahu, ia bukan asing kerana Sarawak sudah mempunyai kerangka kerjasama untuk membekalkan tenaga elektrik ke Kalimantan Barat.

Beliau menyokong cadangan supaya kerjasama antara ITB dan Unimas dikembangkan dalam bidang lain selain penyediaan latihan reka bentuk oleh ITB.

Turut berucap Konsul Jenderal Republik Indonesia di Sarawak Yonny Tri Prayitno; Naib Canselor Unimas Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi dan Rektor ITB Profesor Reini D. Wirahadikusumah.