KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.

Namun begitu, katanya, beliau kini hanya menunggu ihsan dan budi bicara Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk beliau menyerahkan maklumat berikutnya kepada Baginda.

“Tetapi yang ternyata sekarang dan tidak boleh disangkal adalah jumlah setakat ini yang menolak pandangan Perikatan Nasional (PN), perkara besar seperti darurat dan penggantungan Parlimen ditolak majoriti ahli Parlimen.

“Sekarang untuk GPS Sarawak juga sedang membincangkan, saya tak tahu apa keputusannya.

“Tentunya kalau ini (majoriti menolak keputusan PN) berlaku, mereka (Ahli Parlimen) yang komited mendukung darurat dan penggantungan Parlimen, jumlahnya mungkin tidak cukup 90 ahli Parlimen atau mungkin kurang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam siaran langsung Program Minda Profesor Negara – Bicara Negarawan Siri-3 yang disiarkan melalui laman Facebook rasmi Majlis Profesor Negara pada Sabtu seperti yang dilapor Astro Awani.