KUCHING: Pengusaha hotel mahukan subsidi gaji untuk pekerja pada kadar 50 peratus daripada gaji mereka, kata Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Sarawak John Teo.

“Selain itu subsidi untuk bil elektrik dan air sekurang-kurangnya 50 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai pengecualian pembayaran lesen hotel dalam Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 5.0 yang diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada Khamis.

Menurut Teo, pengusaha hotel telah menderita hampir setahun, sejak Covid-19 melanda.

Malah katanya, bagi tahun ini, pengusaha hotel masih belum melihat sinar untuk memperoleh sekurang-kurangnya 50 peratus hasil perniagaan.

“Tanpa kedatangan pelancong asing dan dengan tiga bandar utama yang berstatus merah (Sibu, Miri dan Kuching), pelancongan domestik masih belum dapat dilakukan.

“Semua hotel menjangkakan kerugian tahun ini. “Tanpa bantuan yang diberikan oleh kerajaan, kami bimbang pada penghujung 2021, banyak hotel akan muflis,” katanya.