KUCHING: Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) Dr Chin Zin Hing menggesa agar individu yang mempunyai gejala perlu kekal duduk di rumah bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Menurutnya, mana-mana individu yang sudah menunjukkan gejala seperti sakit tekak, hilang deria rasa dan bau termasuk mereka yang tidak mendapat rawatan jangan mementingkan diri sendiri.

“Ambil sikap peduli terhadap kesejahteraan orang lain terutamanya ahli keluarga dan rakan-rakan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Tambahnya, sekiranya individu berasa kurang sihat, tidak kira seberapa ringan gejala yang dialami, elakkan diri untuk menjadi punca jangkitan Covid-19 kepada orang lain.

“Mereka perlu mengamalkan penjarakan fizikal pada setiap masa dengan orang lain di sekeliling.

“Jangan keluar, sebaliknya, duduk sahaja di rumah serta asingkan diri di dalam sebuah bilik berasingan termasuk segera pergi berjumpa dengan doktor dengan mengikuti semua nasihat kesihatan sepanjang perjalanan ke klinik,” ujarnya.

Beliau memaklumkan, individu yang bergejala hanya dibenarkan keluar rumah sekiranya perlu berjumpa doktor dan memohon untuk menjalani calitan saringan Covid-19 atau jika mereka dipanggil untuk menjalani calitan saringan oleh Pejabat Kesihatan Bahagian.

“Jangan pergi ke tempat kerja atau menghadiri sebarang perjumpaan bersemuka di tempat awam terutama semasa musim perayaan.

“Dapatkan bantuan ahli keluarga atau rakan untuk membuat pesanan melalui
perkhidmatan makanan bawa pulang (take away).

“Ia termasuk tidak menghantar anak-anak ke pusat asuhan atau sekolah dan cukup sekadar maklumkan kepada guru mereka,” tegasnya.

Dalam hal berkaitan, beliau juga menyeru agar masyarakat memberikan perhatian dalam perkara ini kerana hanya dengan kerjasama sahaja pandemik Covid-19 tersebut dapat dikawal.