KUCHING: Kerajaan Sarawak diminta untuk mempertimbangkan pemberian skim subsidi gaji kepada syarikat berdaftar di negeri ini terutama bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kata Presiden Persekutuan Persatuan Cina Sarawak (SFCA) Datuk Richard Wee.

Menurutnya, ia untuk mengisi kekurangan dalam pakej Permai yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan baru-baru ini dalam skim subsidi upah untuk majikan.

“Saya merayu kepada Kerajaan Sarawak untuk mempertimbangkan perkara tersebut kerana banyak PKS yang terkesan akibat wabak yang berpanjangan ini.

“Bantuan sedemikian akan banyak membantu majikan dalam menjaga kakitangan mereka di samping mengekalkan perniagaan,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Ujarnya, secara keseluruhan bantuan seumpama itu sangat diperlukan oleh semua lapisan masyarakat.

Mengulas mengenai pengumuman Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 5.0, beliau amat mengalu-alukan pakej tersebut terutamanya untuk sektor yang amat memerlukan bantuan.

“Kita amat menghargai pakej yang diumumkan terutamanya untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana kerana saya yakin ia adalah sasaran yang diharapkan oleh kerajaan,”ujarnya.