Saturday, May 8, 2021

Rampoiseng C jaguh takraw Tuie Baru

Mesti baca

REGU Rampoiseng C dari Pusa bergelar juara Liga Sepak Takraw Kampung Tuie 2021 sekali gus membawa pulang Piala Pusingan Kelab Sukan Rekreasi Tuie Baru (KSRTB) Edisi 1.0 yang berlangsung di Kampung Tuie.

Bergelar juara, anak-anak buah Hamizol Sapong berjaya membawa pulang hadiah RM500 serta piala.

Lebih manis, tonggak utamanya Md Fakurazi menerima Anugerah Tekong Terbaik dan Pemain Paling Bernilai.

Terdahulu, mereka menewaskan pasukan tuan rumah iaitu Tuie PCR pada aksi final.

Berpuas hati dengan kedudukan sebagai naib juara, Tuie PCR meraih RM300.

Sementara Jang Buyo A dan Rampoiseng B berada di tempat ketiga bersama, masing-masing pulang dengan hadiah RM100.

KSRTB selaku penganjur dan pengelola kejohanan turut menyediakan beberapa anugerah lain antaranya Pengurus Terbaik yang disandang oleh Rosli Akip (Tuie PCR).

Sementara Killer Terbaik dan Feeder Terbaik masing-masing diberikan kepada Jemali (Jang Buyo A) dan Salimin (Tuie PCR).

Pengerusi KSRTB Mohammad Tini menyifatkan penganjuran pertandingan sepak takraw yang julung kali oleh KSRTB ini berjaya.

“Alhamdulillah, syukur dalam suasana norma baharu dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, Liga Sepak Takraw Kampung Tuie 2021 dapat dijalankan dengan lancar.

“Saya menzahirkan penghargaan kepada Adun Saribas Mohammad Razi Sitam atas sokongan padu yang diberikan.

“Tahniah kepada pemenang dan terima kasih pasukan yang sanggup datang dari jauh,” katanya menambah, sebanyak 14 pasukan telah memeriahkah pertandingan.

Antaranya satu pasukan dari Kuching, Pusa (tiga), Sebuyau (dua), Kalok (tiga) serta lima pasukan dari Kampung Tuie.

Hadir sama Penghulu Kampung Tuie Marawi Ais, Ketua Kampung Tuie Mostapha Brahim dan Ahli Majlis Daerah Betong merangkap Pengerusi Ranting PBB Kampung Tuie Kaunselor Suib Paaie.

 

Secara Rawak

Artikel Terbaru