Friday, August 19, 2022

Jangan cuba bolosi sekatan PKP

Secara Rawak

MIRI: Penduduk rumah panjang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Beluru akan dikenakan tindakan tegas jika melanggar sekatan jalan raya dalam tempoh yang ditetapkan.

Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin berkata, sebanyak lima rumah panjang dikenakan PKP membabitkan Daerah Beluru, yang berada dalam zon merah selepas 27 kes Covid-19 dikesan baru-baru ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak berkata, Daerah Beluru bertukar kuning ke merah selepas 42 kes dikesan dalam tempoh 14 hari.

Kim Shin berkata, ketika ini lima rumah panjang kekal dikenakan PKP membabitkan Rumah Emah, Rumah Apol, Rumah Chabu, Rumah Anthony dan Rumah Justine.

“Jika mereka keluar atau melanggar sekatan jalan raya atas sebab tidak munasabah, mereka akan dikenakan kompaun atau denda serta-merta,” katanya kepada Suara Sarawak pada Selasa.

Kim Shin berkata, penduduk harus memahami perbezaan antara PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi mengelak keluar sesuka hati.

“Tiada kompromi, jika orang awam langgar sekatan jalan raya dalam PKPB tanpa sebarang permit, mereka akan dikenakan tindakan tegas,” katanya.

Lee dalam kenyataan medianya sebelum ini juga ada menyatakan bahawa sekatan jalan dibuat di tiga lokasi di Miri, dua lokasi di Marudi dan masingmasingnya satu lokasi di Beluru serta Telang Usan.

Katanya, orang ramai yang ingin pergi ke daerah lain atas sebab kecemasan atau alasan munasabah boleh memohon permit polis berdekatan seperti Balai Polis (BP) iaitu BP Miri, BPLutong, BP Tanjong Lobang, BP Airport, BP Bekenu, BP Niah, BP Marudi dan BP Long Lama.

Dalam perkembangan lain, tular satu gambar kawasan sekatan jalan raya di Batu 8 Lambir dipindahkan ke lokasi baharu iaitu jalan berhampiran kuarters LAKU di hadapan simpang Kampung Lambir.

Menurut sumber, pondok sekatan jalan raya itu dipindah kerana jalan lama dari Bakong atau Bekenu turut menghubungkan Kampung Lambir dan Taman Tunku untuk ke bandar Miri.

“Ia ibarat jalan tikus yang digunakan oleh penduduk dari Bakong, Beluru, Bekenu dan sekitarnya ke Miri. Ada kemungkinan sekatan jalan raya dipindahkan ke lokasi terbabit,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru