Friday, July 1, 2022

10 strategi ‘circuit breaker’ untuk lawan Covid-19

Secara Rawak

  • Seperti seluruh rakyat Malaysia, Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) turut risau dan gusar dengan laporan kes harian yang tinggi, sekitar 3000 kes sehari dan mencecah angka tertinggi pada 16 Januari dengan mencatatkan 4,029 kes. Kes kematian meningkat secara mendadak walaupun kita belum melangkaui sebulan dalam tahun 2021.
  • Keadaan COVID-19 pada hari ini, menurut sesetengah pihak, menunjukkan bahawa negara kita berdepan krisis yang getir berbanding negara ASEAN yang lain, sekiranya dibuat perbandingan menggunakan bilangan kes dan populasi rakyat di negara kita bagi setiap satu juta penduduk. Antara kegusaran rakyat Malaysia adalah seperti berikut:-
    • Bilangan kes masih belum menunjukkan penurunan dan masih belum dilandaikan dengan kadar yang cepat. Kita masih berada pada tahap Ro sekitar 1.2
    • Bangunan fasiliti dan kapasiti hospital berada dalam keadaan yang membimbangkan disebabkan pertambahan ribuan kes setiap hari.
    • Vaksin untuk rakyat masih lambat lagi untuk diedarkan atas sebab-sebab yang telah dinyatakan oleh kementerian-kementerian terbabit.
    • Pelajar-pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam masa 4 minggu lagi adalah mobilisasi rakyat yang paling besar dalam tempoh PKP ini.
  • Oleh yang demikian, langkah yang drastik wajar dilaksanakan walaupun dilihat sukar. Langkah drastik ini perlu diberikan perhatian oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengurangkan jumlah kebolehjangkitan dan mengurangkan kadar kematian dalam tempoh beberapa minggu ini. Langkah drastik ini juga diperlukan untuk memberi ruang bernafas kepada seluruh barisan hadapan yang kini letih dan lesu setelah hampir setahun bertempur dengan wabak COVID-19 ini. Keadaan pada tahun 2021 di negara kita lebih mencabar daripada waktu PKP 1.0 pada bulan Mac tahun lalu.
  • Berikut merupakan 10 langkah drastik melalui strategi “circuit breaker” yang dicadangkan oleh Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM): –
    • Hentikan semua program komuniti kerajaan dan politik yang tidak penting. Hanya agensi kerajaan yang terpilih dan pihak berkuasa sahaja yang boleh menyampaikan bantuan kepada rakyat yang memerlukan. Ramai ahli politik kini dijangkiti COVID-19 dan seharusnya kita bertanggungjawab untuk tidak menularkan COVID-19 kepada rakyat melalui program-program politik.
    • Gerakkan tentera untuk membantu dan bukan untuk mengawal lalu lintas sahaja. Rakyat akan lebih berdisiplin dan keadaan akan lebih terkawal. Tambahan pula, kita menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dengan pengisytiharan darurat untuk melawan COVID-19. Maka, tentera perlu diberikan tanggungjawab yang lebih berkesan ketika darurat ini.
    • Tutup kilang dan pejabat yang tidak penting atau “non-essential”. Ketatkan kriteria pembukaan kilang atau pejabat yang penting atau “essential”. Rakyat seharusnya digalakkan untuk bekerja dari rumah. Keadaan PKP 2.0 dilihat agak longgar apabila perniagaan barang kemas dan pakaian dalam wanita yang “non-essential” turut dibenarkan dibuka.
    • Hanya pelajar SPM dibenarkan ke sekolah jika tiada akses secara atas talian atau “online”. Jika kes tidak berjaya dikawal dalam tempoh 2 minggu ini, batalkan sahaja SPM dan sekolah boleh menggunakan skema pemarkahan lain untuk penilaian murid-murid. Dengan itu, pelajar boleh meneruskan pembelajaran di universiti atau pengajian tinggi yang lain.
    • Restoran harus dibuka hanya untuk penghantaran dan untuk dibungkus sahaja. Tempoh masa perniagaan bolehlah dibuat hingga jam 10 malam.
    • Saringan COVID-19 perlu diwajibkan sebelum penerbangan rentas negeri atau di semua pintu masuk negeri masing-masing. Rentas negeri tidak dibenarkan melainkan untuk perjalanan yang penting sahaja.
    • Kawalan yang lebih proaktif di asrama-asrama pekerja kilang yang banyak menyumbang kepada Fasa 3 COVID-19. Tindakan “punitive” atau menghukum perlu diambil jika pihak kilang melanggar SOP yang telah ditetapkan.
    • Kekalkan radius 10 kilometer untuk perjalanan keluar dari rumah bagi mereka yang ingin mendapatkan keperluan asas.
    • Semua pihak perlu kekal berada di rumah, tidak kira sesiapa pun. COVID-19 tidak mengenal pangkat dan darjat. Ingatlah, ahli politik tidak kebal dari COVID-19. Semua pihak perlu bersatu hati dan laksanakan gencatan politik seperti titah Yang di-Pertuan Agong.
    • Moratorium dan bantuan bersasar perlu dilaksanakan secara automatik tanpa karenah birokrasi agar tiada rakyat tercicir waktu PKP.
  • Walaupun perit dan pedih, 10 perkara tersebut perlu dilaksanakan mengikut SOP yang ketat agar kita dapat memutuskan rantaian COVID-19. Inisiatif “circuit breaker” ini tidak mustahil kerana kita pernah menang tahun lepas apabila terdapat hari-hari yang tiada kes COVID-19 dan jikalau ada pun, kes hanyalah melibatkan satu angka.
  • Semua pihak perlu menjalankan tanggungjawab masing-masing agar kita semua dapat keluar daripada pandemik ini dengan cepat. Jika barisan hadapan dinasihatkan menjalankan tugas sebagai barisan hadapan, maka ahli politik dan pihak pentadbiran kerajaan juga perlu menjalankan tugas mereka dengan berkesan. SOP untuk rakyat marhaen seperti kami seharusnya digunapakai oleh ahli politik dan Menteri tanpa sebarang pilih kasih.
  • Tiada siapa yang mahu PKP dilaksanakan untuk berbulan-bulan kerana ianya bakal meranapkan ekonomi negara. Pada masa yang sama, PKP yang dilaksanakan sekarang perlu diperketatkan agar kita dapat melihat penurunan kes hasil PKP yang efektif. Bersama-sama kita berdoa agar negara kita pulih daripada wabak COVID-19 ini.

Malaysia Sejahtera!

#MalaysiaSejahtera
#MuafakatNasional
#PerikatanNasional
#PemudaIkatan
#IsuRakyat

Shahir Adnan
Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM)
Parti IKATAN Bangsa Malaysia merangkap
Timbalan Pengerusi IKATAN Kelantan

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru