LIMBANG: Tindakan proaktif tindakan Jawatankuasa Surau Surau Nur Falah, Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) dan Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kampung Kuala Awang dalam memberikan sumbangan kasih kepada warga emas di Kampung Kuala Awang mendapat pujian daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang. 

Menurutnya, tanggungjawab sosial sumbangan kasih seperti pemberian barangan keperluan kepada warga emas adalah untuk meringankan beban harian. 

“Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO’s) boleh menggunakan peruntukkan tahunan untuk tujuan yang sama dalam membantu golongan yang memerlukan,” katanya semasa berucap dalam Majlis Penyampaian Kerusi Roda dan Sumbangan Kasih Kepada Warga Emas Kampung Kuala Awang pada Selasa.

Pada majlis itu, Paulus telah menyampaikan simbolik sumbangan kasih  kepada beberapa orang penerima di Kampung Kuala Awang. 

Dalam pada itu, isteri ADUN Batu Danau, Mary Sindang yang mewakili Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI) telah menyerahkan bantuan kerusi roda kepada warga emas Siah Tangah berusia 91 tahun. 

Ketika ditemui, Siah yang hilang pancaindera penglihatan, mengalami masalah kurang pendengaran dan ketidakupayaan untuk bergerak mengucapkan terima kasih kepada SABATI di atas bantuan kerusi roda yang memudahkan pergerakkannya. 

“Terima kasih kepada SABATI yang telah memberikan sumbangan kerusi roda yang memudahkan pergerakan harian,” katanya. 

Hadir sama Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Awang Sebastian Apong, Ketua Pemuda PBB DUN Batu Danau Kaunselor Elvis Mathew, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Negeri Aoran Paulus dan Ketua Kampung Kuala Awang Yusop Timbang.