KUALA LUMPUR: Saranan menggunakan keputusan peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi menggantikan peperiksaan sebenar dilihat kurang sesuai, menurut Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP).

Menjelaskan perkara itu, Setiausaha Agung NUTP Harry Tan Huat Hock berkata peperiksaan percubaan SPM adalah sebagai kaedah bagi guru mengenal pasti kemampuan dan kelemahan pelajar sebelum menduduki peperiksaan sebenar.

Beliau berkata taraf peperiksaan percubaan SPM tidak setara dengan SPM sebenar, yang mempunyai penilaian selaras piawaian antarabangsa.

“Percubaan SPM tiada tanda aras dengan taraf antarabangsa, justeru tidak adil guna keputusan peperiksaan percubaan untuk menggantikan SPM sebenar.

“Tanpa menduduki peperiksaan percubaan, guru masih ada kaedah lain boleh dilakukan sebagai persediaan bagi calon SPM dalam sepanjang tempoh takwim persekolahan tahun ini sebelum SPM bermula,” katanya  seperti dilapor Bernama.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas saranan sebilangan ibu bapa yang mahu SPM dibatalkan dan menggunakan gred keputusan peperiksaan percubaan SPM sebagai keputusan sebenar.

Semalam, KPM dalam kenyataan memaklumkan peperiksaan percubaan SPM dibatalkan, malah menerusi senarai Soalan Lazim (FAQ) KPM menjelaskan, peluang murid yang tidak menduduki peperiksaan percubaan SPM 2020 tidak terjejas peluang mereka ke institut pengajian tinggi awam.

Tan berkata adalah penting pada masa ini bagi guru dan calon peperiksaan memfokuskan diri kepada persediaan SPM.

Beliau berkata keputusan membatalkan peperiksaan percubaan itu sekurang-kurangnya meredakan tekanan calon SPM khususnya mereka di kawasan terjejas banjir dan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Dalam keadaan sekarang, adanya satu tarikh tetap bagi satu peperiksaan (SPM dan peperiksaan setara) semua yang terlibat boleh memfokuskan kepada satu peperiksaan sahaja,” katanya.