PAKAN: Lima sekeluarga berdepan detik cemas apabila rumah kebun mereka musnah dalam kebakaran di Batu Enam, Jalan Engkamop di sini, petang tadi.

Insiden kira-kira 2.20 petang mengakibatkan rumah berstruktur tidak kekal milik mangsa  itu ranap sama sekali.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Nicholas Belulin berkata, sepasukan anggota yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Samsawi Mohamad bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada 2.29 petang.

Bagaimanapun katanya, sebalik tiba di lokasi kediaman mangsa telah musnah 100 peratus.

“Kami memadam sisa bara api dengan menggunakan satu aliran 100 kaki satu nozel dan operasi tamat pada 4.18 petang,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kejadian tidak mengakibatkan kemalangan jiwa manakala punca sebenarnya masih dalam siasatan.

“Dalam perjalanan pulang kami terserempak dengan sebatang pokok tumbang menghalang jalan utama.

“Pasukan bomba memotong dan mengalih pokok tersebut sehingga selesai pada 5.15 petang sebelum bertolak balik ke balai,” ujarnya.