PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memaklumkan pemantauan di beberapa negeri di Pantai Timur mendapati wujud kenaikan harga sayur-sayuran terutamanya tomato dan sawi.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, ia disebabkan perubahan cuaca yang melampau dan musim tengkujuh yang melanda di negeri berkenaan.

“Antara barangan yang menunjukkan peningkatan adalah sayur-sayuran seperti tomato dan sawi. Harga bawang yang diimport daripada pelbagai negara pengeluar menunjukkan berlakunya penurunan harga.

“Hasil pemeriksaan aduan berhubung kenaikan harga barangan mendapati, berlakunya peningkatan harga barangan keperluan tersebut disebabkan oleh musim tengkujuh yang melanda di negeri-negeri Pantai Timur.

“Ia menyebabkan nelayan tidak dapat turun ke laut dan faktor perubahan cuaca yang terlampau sejuk di negeri pengeluar bekalan utama sayur-sayuran seperti di Cameron Highlands yang menyebabkan kualiti dan kuantiti hasil sayur-sayuran berkurangan,” katanya dalam kenyataan media pada Rabu seperti dipetik Astro Awani.

Sehingga kini, 258 premis peruncit dan pembekal telah diperiksa di beberapa negeri di Pantai Timur menerusi Op Pasar 2021 (sayur-sayuran).

Jelasnya lagi, pemeriksaan melibatkan 743 barangan, antaranya lima sayur-sayuran utama iaitu tomato, cili merah (minyak dan Kulai), lobak dan kubis bulat.

“Sebanyak 246 notis bertulis telah dikeluarkan kepada peniaga untuk memantau aktiviti kenaikan harga yang berlaku dan mengesan sekiranya wujud sebarang elemen pencatutan.

“Hasil daripada pemantauan awal tersebut didapati memang ada berlakunya kenaikan harga barangan bagi barang basah termasuk sayur-sayuran,” jelasnya lagi.

Selain itu, KPDNHEP turut memantau harga jualan minyak masak pelbagai jenama bagi botol (isipadu) 2, 3 dan 5 kilogram di pasaran.

“Walau bagaimanapun, sehingga 19 Januari 2021, sebanyak 750 premis telah diperiksa yang meliputi 558 peruncit, 163 pemborong dan 29 pengilang bagi memastikan kedudukan bekalan 11 jenis barangan keperluan asas mencukupi di pasaran.

“11 barangan keperluan yang dipantau keberadaan bekalannya adalah gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti putih, susu tepung, sayur-sayuran, ayam, telur, bawang dan pelitup muka,” katanya lagi.

KPDNHEP akan terus memantau bekalan dan harga barangan di pasaran di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2021 khususnya ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua ini.

Kementeriannya jelas Alexander, akan diambil tindakan tegas terhadap mana mana peniaga yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan keperluan terhadap pengguna.