KUCHING: Sarawak menyaksikan pelbagai warna zon direkodkan setakat ini dengan penambahan kes yang semakin tinggi sejak awal Januari lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sebanyak tiga daerah di Sarawak hari ini telah bertukar status.

“Kanowit bertukar status dari kuning ke jingga setelah sejumlah 29 kes dikesan melibatkan kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari lalu.

“Manakala Subis di Miri dan Belaga di Kapit turut bertukar status dari hijau ke kuning  dengan mencatatkan tiga kes baharu yang juga melibatkan jangkitan tempatan,” katanya semasa sidang media harian Covid-19 Sarawak, di sini Selasa. 

Menurut Uggah, Kuching, Sibu, Miri dan Beluru kekal berstatus merah dengan merekodkan sejumlah 905 kes manakala Sebauh kekal berstatus jingga.

Sementara itu katanya, Betong, Meradong, Julau, Kapit, Lubok Antu, Simunjan, Asajaya, Dalat, Selangau, Samarahan, Sri Aman, Bukit Mabong, Bintulu, Sarikei dan Limbang kekal berstatus kuning manakala 17 daerah lain kekal berstatus hijau.