LIMBANG: Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Asli dan Pembangunan Wilayah (MANRED) kini sedang menjalankan kerja-kerja penambahbaikan stesen-stesen pertanian atau Agriculture Training Center (ATC) di seluruh negeri Sarawak. 

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, misalnya ATC Kubong di Bahagian Limbang kini sudah tidak dapat digunakan dan usang serta perlu penambahbaikan dan ini termasuk di semua stesen pertanian di seluruh Sarawak.

Stesen Pertanian Kubong telah menerima peruntukan daripada Jabatan Pertanian dan Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) untuk menaik taraf ini. 

“Peruntukan daripada Jabatan Pertanian kita telah membelanjakan hampir RM500,000 bagi tahun 2019 dan 2020. 

“Tahun ini pun kita ada meminta peruntukan tambahan dalam lingkungan RM300,000 untuk penambahbaikan yang selanjutnya. 

“Kita juga menerima peruntukan hampir RM3 juta daripada NRDA untuk menambaik stesen ini termasuk di Bahagian Perikanan. 

“Peruntukan ini memang amat-amat diperlukan sebab fokus kerajaan negeri adalah untuk meningkatkan pengeluaran produk-produk berasaskan pertanian untuk menjadi negeri pengeksport menjelang tahun 2030,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke Tapak Projek Naik Taraf Stesen Pertanian Kubong Limbang di Stesen Pertanian Kubong, Limbang pada Selasa. 

Datuk Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota menambah apabila siapnya projek menaik taraf ATC ini pada Oktober 2021, ianya akan dapat menjadikan stesen ini sebagai pengeluar beberapa jenis ikan yang ada di Limbang seperti Empurau, Semah, Tengadak, Lampan Jawa dan Tilapia serta udang kara. 

“Kita juga meminta Jabatan Pertanian di sini untuk mengeluarkan benih Udang Kara Air Tawar yang mendapat permintaan yang baik pada masa ini. 

“Udang kara ini sebenarnya bukan udang tempatan, ianya didatangkan dari Australia dan ia hanya dibenarkan diternak di dalam kolam atau di dalam canvas. 

“Udang ini tidak dibenarkan diternak di dalam sungai kerana ia bukan udang tempatan dan kalau dilepaskan ke sungai ia akan menganggu ekosistem. 

“Walau bagaimanapun, udang ini telah pun mendapat kebenaran untuk dipelihara di Malaysia dan di Sarawak,” tambahnya. 

Sekarang ini ramai pengusaha yang berminat untuk mengusahakan penternakan udang kara sebagai ‘urban farming’ yang mana mereka mengusahakannya di rumah-rumah kedai dan sebagainya.

Udang kara yang diperkenalkan di Limbang ini mempunyai harga dalam lingkungan dalam RM70 ke RM80 sekilo dengan berat seekor udang kara boleh mencapai antara 150 gram hingga 250 gram.

Hadir sama Pegawai Pertanian Pembangunan Bahagian Limbang Jakaria Rambli, Pegawai Pertanian Pengembangan Bahagian Limbang Amirul Fikri Jemali, Penolong Pegawai Pertanian Daerah Limbang Christopher Dawat Anur, Konsultan Standard Engineer John Gusa dan Pengurus Projek Bersama Jaya Construction Sdn Bhd Liew Teck Khian.