Saturday, May 8, 2021

Skuad Harimau Malaya boleh adakan kem latihan pusat kurantin

Mesti baca

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya boleh menarik lafas lega apabila Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membenarkan mereka mengadakan latihan pusat menggunakan pendekatan kuarantin di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil di sini, dalam masa terdekat.

Menterinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata MSN mempunyai fasiliti dan kemudahan yang sesuai untuk melakukan persiapan menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023, Mac ini.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe bakal bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Abu Dhabi (26 Mac) dan Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 31 Mac ini.

“Setelah berbincang dengan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), saya melihat bahawa mereka boleh menggunakan premis MSN sebagai pusat latihan mereka.

“MSN Bukit Jalil mempunyai fasiliti dan kemudahan serta mudah untuk dilakukan operasi berasaskan kepada model latihan secara kuarantin berbanding tempat lain,” katanya dalam kenyataan di sini hari in seperti dipetik Bernama.

Pusat latihan itu boleh menempatkan antara 30 hingga 40 orang termasuk barisan kejurulatihan, pegawai dan pemain, katanya.

Sebelum ini, latihan pusat skuad kebangsaan yang dijadualkan bermula 16 Jan lepas terpaksa dibatalkan selepas Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan) dan Selangor tersenarai antara enam negeri diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 13 Jan lalu.

Malaysia kini berada di landasan terbaik untuk melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2023 apabila berada di kedudukan kedua Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 dengan mengumpul sembilan mata selepas mengharungi lima perlawanan.

Secara Rawak

Artikel Terbaru