KUALA LUMPUR: Kerajaan mesti bertindak untuk menyelesaikan masalah yang timbul akibat kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka tidak dapat dilaksanakan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pengisytiharan darurat, kata Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Menurut beliau, ini  akan menyebabkan pelajar terutama golongan B40 keciciran dalam pendidikan manakala pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) memerlukan capaian internet dan gajet.

“B40 ramai yang tak mampu beli laptop, komputer dan ‘handphone’ canggih.

“Kerajaan mesti bertindak untuk selesaikan masalah-masalah ini segera,” ciapnya di Twitter.

Ahmad yang juga Setiausaha Agung Umno turut mengucapkan terima kasih kepada Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) yang mengatakan faktor capaian Internet dan pemilikan gajet dilihat menjadi antara faktor utama proses PdPR kurang berkesan serta menyumbang kepada beberapa kesan negatif dan merumitkan keadaan golongan berpendapatan rendah.