KUCHING: Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) menyokong penuh pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bersemuka hanya melibatkan murid Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 yang menduduki peperiksaan bagi tahun 2020.

Presiden KGBS, Ahmad Malie berkata penangguhan sesi PdP bersemuka merupakan sebahagian dari rayuan kesatuan-kesatuan guru di Sarawak memandangkan perkembangan semasa pandemik Covid-19 di negeri ini yang agak merisaukan guru serta ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

Kata Ahmad, KGBS percaya tindakan untuk menangguh PdP bersemuka bagi murid sekolah rendah dan menengah yang bukan menduduki peperiksaan akan memudahkan pihak sekolah mengendalikan peperiksaan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan lebih baik di samping memastikan keadaaan lebih terkawal.

Jelasnya, kesatuan juga yakin situasi tersebut dapat mengurangkan kesesakan murid calon peperiksaan sepanjang tempoh peperiksaaan berlansung demi memastikan semua pihak yang terlibat dalam keadaan terkawal.

“KGBS amat bersyukur dengan pengumuman ini kerana ia dapat mengurangkan kerisauan ibu bapa mengenai pengoperasian persekolahan yang akan bermula pada 20 Januari ini.

“Justeru, KGBS ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak, KPM dan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak yang sentiasa peka dan prihatin dengan kebajikan warga pendidikan dan juga masyarakat umum dalam berdepan cabaran pandemik Covid-19 ini,” kata Ahmad.

Dalam pada itu, tambahnya, KGBS tetap menaruh keyakinan dengan pengalaman Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang pernah dilalui oleh guru sebelum ini.

Jelas beliau, guru dapat melaksanakan tugas mereka secara PdPR dengan terbaik mengikut kemampuan serta keupayaan yang ada di lokasi mereka berada.

“Melalui kaedah PdPR ini, KGBS turut mengharapkan ibu bapa atau penjaga agar dapat memahami situasi sebegini dan terus memberi kerjasama serta sokongan yang mantap kepada warga guru demi memastikan anak-anak mereka tidak tercicir untuk menerima pendidikan dengan sewajarnya,” katanya.